artist is human with ideas - beautiful ideas and, this magic words: unique, internationally & beautiful
Friday, November 20, 2009
Sunday, November 8, 2009
Cerita Yee Wen 3
Meniti awan-gemawan kehidupan
dia tercari-cari cara melihat rupa hati manusia
di luar, tak kelihatan cahaya
berjuta memperdaya agama dan iman
kerana membeli dunia, membeli manusia
dan dia keliru lagi berhari-hari.
Siang dan malam dipanjati hingga puncak
di tiang hari, dia diganggang sayang
dan di panggung malam, terbiar terlantar
terawang-awang di angkasa hitam kesunyian.
Diriku yang hadir siang
selalu pula tak dikenalinya dan kubiarkan
suaranya mempersenda
diriku tetap diriku tak kurang apa pun
menjauh, dia dilontari ke alam penuh ksepian
hingga marahnya bertanda mahu menguasai
diri jadi berteka-teki.
Kusoal bayu yang berpuput
kutanya udara yang disedut paru-parunya
dia kulihat kehilangan kemanisan kemanusiaan
terawang-awang menimbang laluan halimunan
untuk menyeberang ke pulau keagamaan
di matanya, selebriti tv berbaris panjang
satu, satu ke muka menjual Qur’an
dengan lidah dua.
Tiap kali soalanku merangkak ke telinga bayu
air matanya tumpah, melihatku yang melihat objek itu
dan udara yang meresapi berbisik ke telingaku
dia kesengsaraan diganggang api dunia
dia derita dipanasi kata-kata keluarga
lalu diriku merangkuli sejambak cahaya
menanti di penghujung dunia.
Daeng Ramliakil
14 Disember 2008.
Puisi Yee Wen 14
Bukan mudah, mencari sinar dalam cahaya
Mata yang melihat belum tentu tidak tertipu
Sepanjang kehidupan, pernafasan, ada tikanya terhenti
Lemas bernafas, mata pun redup, alam tidak nyata
Biru langit jadi putih semahu-mahunya.
Tubuh hatiku letih lesu kata-kata
Hilang satu-satu ditelan terjunan air dan deruan.
Awal hari hati jadi sayu selautan
Sukar menduga kerja dan ketetapan Ilahi
Indah menyentuh akal, tiba-tiba muncul
Waktu diri kepayahan, berbincang perihal kemanusiaan
Usia yang kulihat kenalan kian pendek
Terapung-apung di lautan masa
Tenggelam satu, satu, hilang dicelah arus waktu.
Hati jadi lesu selautan
Dan mencari titian kehidupan keliru beberapa ketika
Mengenal erti makhluk ciptaan Ilahi, payah
Kepayahan selautan, apa lagi yang itu.
Syawal yang bisu kepada mata dan telingaku
Kutunggu, tunggu dan akhirnya jadi sayu juga selautan
Langit memandang hati, yang tumpah, air mata ditelannya
Kesayuan memanah-manah, hati kesunyian di Sahara yang paling luas
Mencari kunang-kunang, seperti Baha dan keinginan menjadi
Kesayuan jadi realiti selangit penuh dalam diri.
daengramliakil.blogspot.com
Akademi Pengajian Melayu, UM
1-2 Oktober 2009
Puisi Yee Wen 15
Sesudah langit putih jadinya
Tiada lagi bayangan awan
Biar pun arak-berarak mega-mega berkumpulan.
Membiarkan hati tercari-cari rahsia Ilahi
Menggodaku dengan plat itu berkali-kali
Dukalara menjadi
Tak kuduga, dia yang tak peduli, diam-diam mencari.
Hari ini siang penuh
Dan malam tidak lagi hitam hatinya
Hari ini hati-hati malam dihamparkan ke permukaan lautan putih
Diri melihatnya kejauhan
Biarkan, kata diri, kembara tak ke mana
Lebih-lebih ke pusara
Biarkan kata diri, mempersenda pun tak luka apa-apa.
Laluan terang siang ke kota tangga
Dunia dan akhirat
Diri tetap mengikat iman kukuh kuat.
Memerhati tanda langit hari ke sehari
Diri jadi keharuan ditimang teka teki
Islam itu suci dan di mana dirinya kini
Kutanya Ilahi, membisu, diri jadi sunyi sesunyi-sunyinya.
Kulangkahkan lidahku
Ke Arasy dengan hati, berteleku.
daengramliakil.blogspot.com
Akademi Pengajian Melayu, UM
6.10.2009 3.40am Selasa
Puisi Yee Wen 16
14 Okt.2009 Rabu 6.34, 6.40
Kehidupan yang diteruskan, nafas kejujuran
Melihat langit luas dengan mata hati keimanan
Dan, teka-teki jadi teka nyata
Diri terapung sebalik kuasa Ilahi jua.
Katanya, dia tiba diapung keriangan
Hati yang bahagia, amat luas lautan ketenangan
Diri yang dicari, dicari jua hingga temui
Alam ilusi dan ruh pun di titian ilusi.
Dengan rupa, jua cahaya
Dengan mata, mencari diri
Dan Ilahi yang jadi saksi kuasa-Nya
Maha luas terbentang
Dunia nyata teramat kerdil
Diri ‘hu’ yang rahsia-Nya menerima.
Sore yang membentangkan diri di langit nan tinggi
Warna-warni kekuningan dibauri keputihan dan biru yang lesu
Melihat kejadian diri, rupa dan kuasa, jua amanah-Nya.
Pabila tersuara, Ilahi mendidik diri ini
Keegoan yang teramat lama menggunung
Diri jadi pilu, lesu mengira waktu kembara cahaya keimanan
Yang jadi jaminan sesiapa yang pernah bernyawa
Bahagia di mana-mana, di mana-mana
Bahagia yang tak terbeli walau emas berjuta gunungan.
Diri melihatnya di kejauhan yang mendekat
Kata Ilahi, biarkan di situ dahulu, biar suci
Andai hati hanya puja diri, neraka yang menanti
Bukan syurgawi
Diri hanya mahu memberi syurgawi, hanya syurgawi sejati.
akademi pengajian melayu, universiti malaya
14.10.2009
Puisi Yee Wen 17
14x09, 6.40
Siang warnanya terang
Dan diri, diselimuti kelesuan tepu
Berbaring antara terang dengan cahaya
Mimpi menghampiri.
Tiba tiba-tiba
Diri dipancing mata tanya
Inikah, atau, cuma lembaga cahaya
Membiarkannya, meladen seadanya.
Dalam mimpi hadir mimpi yang sama
Di sana dibajui hati yang tenang, riang
Diri miliki bukti Ilahi, terang.
Pabila tertera kata-kata itu
Diri dipancing situasi pilu
Tiga purnama, diri dikambusi bumi
ingatan masa lalu
hingga asma’, detik hati, rasa lesu menderu.
Diri membiarkan sungai sunyi mengalir air
Melihatnya dengan mata hati
Walau air mata pilu mahu mengalir
Melihat nasib manusia, nasib yang dicarinya
Terpasung kali-berkali dalam penjara duniawi famili.
Manusia, jadilah manusiawi
Biar mudah kudidik suci
Biar pasti ke syurgawi, di dunia
Jua akhirat nanti.
Biarkan, biarkan orang tua memilih diri
Bermata duniawi, biar hingga kiamat terjadi
ingat,
hanya ahli syurga kuasa doanya
jadi sakti, bantui.
akademi pengajian melayu, um
17.10.2009 sabtu
Puisi Cerita Yee Wen 18
Isnin, 26.10 2.24pm
Dengan suara kata-kata, disambutnya
Sesudah senyapnya siang dan malam
Membiarkan tugu aksara
Berdebu jua kedinginan, tapi diri
Ketahui sejak azali, aha, spesies ini
Mohon kemaafaan rendahkan diri
Hingga dia terangkat naik, egonya melangit
Dan diri, dipelawa malah mencari dikait.
Kejujuran digerakkan Ilahi
Diri dikuasai-Nya.
Kata-katanya kepada diri
Nyata dengan suara bertanda ikhlas
Keriangannya keserlahan meniru gumpalan awan
Yang awalnya menyembunyi matahari
Tiba-tiba, disuanya ibu cahaya menerangi memancar sinar
Ke merata bumi diri.
Dan, diri tanpa kuasaku menyuarai kata-kata Ilahi
Keunikannya memaksa diri menyusuri
Tanda demi tanda jejaki semiotik yang katanya teori
Yang kukenali ini, keunikan diri
Berbelas puisi, jadi sungai puisi mengalir lagi.
11.55pm
Puisi Cerita Yee Wen 19
Kata-kata langitnya, satu, satu
Menangga tak menentu
Diri memerhati bumi hati yang satu
Ilahi kata hatiku
Dan dia bahagia kata-kata.
Nafas yang diperkuda jantung siang malam
Nadi meneliti darah yang menghambai diri
Yang dicari, cahaya
Yang dinikmati, rahmat Yang Maha Esa
Dan dia, tahu tapi ragu-ragu
Di sekeliling – berbelantara teraba-raba
Ibu bapa saban lima waktu keliru.
Diri yang menyebut aksara murni mulia
Memerhati warna hatinya
Tahu, tapi tetap menunggu pintu langit terbuka.
Siang itu, sesudah tiga purnama cahaya kelam
Tiba-tiba, sinaran kilat memancari hitam jadi terang
Diri tercari-cari tanda Ilahi mengajari
Dan, menanti, menguji.
Lautan kesepian membalut dirinya
Kemas lagi teguh usaha
Tapi kuasa, siapa yang mengatasi Ilahi
Waktu itu, Ilahi menyuaraiku, lautan teramat tenang
Dan dia tercari-cari cara menguji, tapi bimbang
Diamku, pengalaman silam, berpurnama
Dia segera mempelawa suaraku.
Satu, satu jadi segera tertera lukisan
Hati dan minda dirinya
25.10.2009 Isnin 4.am
Puisi Cerita Yee Wen 19
Kata-kata langitnya, satu, satu
Menangga tak menentu
Diri memerhati bumi hati yang satu
Ilahi kata hatiku
Dan dia bahagia kata-kata.
Nafas yang diperkuda jantung siang malam
Nadi meneliti darah yang menghambai diri
Yang dicari, cahaya
Yang dinikmati, rahmat Yang Maha Esa
Dan dia, tahu tapi ragu-ragu
Di sekeliling – berbelantara teraba-raba
Ibu bapa saban lima waktu keliru.
Diri yang menyebut aksara murni mulia
Memerhati warna hatinya
Tahu, tapi tetap menunggu pintu langit terbuka.
Siang itu, sesudah tiga purnama cahaya kelam
Tiba-tiba, sinaran kilat memancari hitam jadi terang
Diri tercari-cari tanda Ilahi mengajari
Dan, menanti, menguji.
Lautan kesepian membalut dirinya
Kemas lagi teguh usaha
Tapi kuasa, siapa yang mengatasi Ilahi
Waktu itu, Ilahi menyuaraiku, lautan teramat tenang
Dan dia tercari-cari cara menguji, tapi bimbang
Diamku, pengalaman silam, berpurnama
Dia segera mempelawa suaraku.
Satu, satu jadi segera tertera lukisan
Hati dan minda dirinya
25.10.2009 Isnin 4.am